Monday 26 March 2018

DINI
 MODUL UNTUK OLAHRAGA


Hasil Pembelajaran


 
Setelah  selesai membaca modul ini, diharap anda dapat:
1. menjelaskan secara ringkas perkembangan sejarah olahraga antarabangsa dan Malaysia
2. menyatakan dan menjelaskan acara-acara olahraga
3. menyatakan peralatan dan ukuran balapan yang digunakan dalam olahraga
4. menjelaskan teknik asas lari pecut, lompat jauh dan lontar peluru.
5. menjelaskan undang-undang dan peraturan



Sinopsis     

Tajuk-tajuk dalam modul ini merangkumi sejarah dan perkembangan olahraga di peringkat antarabangsa dan Malaysia. Modul ini juga mendedahkan jenis-jenis acara olahraga, peralatan dan ukuran untuk acara padang dan balapan.



3.1 SEJARAH OLAHRAGA

3.1.1     Sejarah dan perkembangan     

Tahukah anda bahawa olahraga merangkumi beberapa acara yang berasaskan kepada aktiviti fizikal yang bersifat saingan atau perlumbaan.  Bagaimanakah acara olahraga boleh dikategorikan?

Ia merangkumi beberapa acara berlainan yang menggunakan pergerakan-pergerakan asas seperti berlari, membaling dan melompat. Pengelolaan kejohanan olahraga secara tersusun dikatakan telah bermula pada zaman klasik lagi terutamanya Sukan Olimpik Kuno.

Mungkin anda telah mengetahui bahawa olahraga bermula dari Sukan Olimpik Moden pertama yang telah dijalankan di Athens dalam tahun 1896 dan tertubuhnya Persatuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) pada tahun 1912. Antara sukan-sukan besar yang mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa adalah Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Semua ini merupakan elemen yang penting dalam Sukan Olimpik Moden dan dipraktikkan di semua negara kerana nilai pendidikan dan peranannya dalam meningkatkan keadaan fizikal individu.  Ia juga merupakan asas yang diperlukan untuk prestasi optimum dalam sukan lain disamping menawarkan peluang kepada penyelidik untuk mengkaji pergerakan manusia.   

3.1.2 Acara-Acara Olahraga

Anda biasa mendengar dan melihat banyak acara dalam olahraga. Acara-acara tersebut boleh dibahagikan kepada dua bahagian iatu acara balapan dan acara padang.  

i. Acara balapan boleh dikategorikan seperti berikut:

· Acara lari pecut (jarak dekat) :  100 m, 200 m dan 400 m
· Acara lari jarak sederhana :  800 m, dan 1500 m
· Acara lari jarak jauh :  3000 m, 5000 m dan 10000 m
· Acara lari berganti-ganti            :  4 x 100 m,  4 x 200 m dan 4 x 400 m
· Acara lari berpagar :  100 m (P),110 m (L) dan 400 m (L&P)

ii. Acara padang pula terdiri daripada:

· Acara balingan :  Merejam lembing, melempar cakera, melontar peluru dan  membaling tukul besi
· Acara lompatan :  lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang dan lompat    
                                         bergalah

3.2     PERALATAN DAN UKURAN PADANG

Peralatan dan Ukuran

Untuk menjalankan sesuatu kejohanan olahraga sebuah trek atau balapan perlu diadakan sama ada di atas padang rumput mahupun padang tiruan. Dengan adanya balapan larian sesuatu acara balapan dapat dijalankan dengan sempurna.  Panjang balapan biasanya dibina sepanjang 200 meter, 300 meter dan 400 meter, bergantung kepada keluasan sesuatu kawasan.  Di peringkat antarabangsa, trek mengandungi lapan lorong sejauh 400 meter. Tiap-tiap lorong lebar minima  1.22 meter dan maksima 1.25 meter .  Di peringkat sekolah, panjang trek boleh diubah suai kepada 200 meter atau 300 meter jika padang sekolah tidak cukup besar untuk trek 400 meter.

Untuk menjalankan suatu aktiviti atau pertandingan acara lompatan dan lontaran, suatu gelanggang/ sektor perlu diadakan sama ada di atas padang rumput mahupun padang tiruan.  Dengan adanya gelanggang/ sektor, sesuatu acara padang dapat dijalankan dengan sempurna dan disamping memberi peluang kepada peserta mematuhi peraturan acara yang ditetapkan. Pembinaan gelanggang/ sektor yang piawai, bergantung kepada keluasan sesuatu kawasan dan kesesuaian tempat dari segi faktor keselamatan. Di peringkat antarabangsa dan kebangsaan, kebanyakan gelanggang/ sektor disediakan di suatu tempat yang telah diatur mengikut pelan yang dirancang seperti contoh sebuah stadium.  Bagaimana pun di peringkat sekolah, penyediaan gelanggang/ sektor boleh diubah suai berdasarkan keperluan dan kawasan yang ada.

· Keperluan Alatan Membuat Balapan

ü Besi penanda ( 15 batang )
ü Pita ukur ( fibre glass tahan panas ) 100 meter
ü Pita ukur ( steel ) 50 meter
ü Pita ukur ( steel ) 30 meter
ü Kabel / Dawai 3mm ( 60 meter )
ü Tali ( 7mm – 10mm ) 120 meter
ü Paku 20cm ( 20 batang )
ü Kereta minyak / cat
ü “Roller” atau berus cat ( 5cm )
ü Tukul besi


Nota:
· Penanda perlu menggunakan besi yang panjangnya antara 30cm - 50 cm
· Pita ukur;


Pita fibre - Ketahanan pada panas yang tidak akan berubah pada suhu  padang. Pita ukur plastik atau fibre bermutu rendah akan mudah mengembang pada suhu tinggi dan mengecut pada suhu rendah.

Pita besi - Disyorkan untuk mengelakkan berlakunya pita ukur mengembang. Penggunaan pita ukur berbeza panjang adalah untuk memudahkan kerja mengukur di jarak yang bersesuaian.
  


  

· Gelanggang/ Sektor Acara Padang ( Lompat Jauh Dan Lontar  Peluru )    

Sektor / Gelanggang

· Sektor / Gelanggang Lompat Jauh
      
Spesifikasi Sektor Lompat Jauh;

ü Terdapat landas lari yang berjarak tidak kurang dari 45 meter
ü Terdapat papan lonjak yang mempunyai panjang minima 1.22 meter dan lebar 300 mm. Papan dicadangkan cat dengan warna putih
ü Terdapat kawasan mendarat yang berukuran 2.75 m x 9.00 m 
ü Kawasan mendarat perlu diletakkan dengan bahan yang lembut seperti pasir

                                              
· Sektor Lontar Peluru  


Spesifikasi Kawasan Lontar Peluru;

ü Terdapat bulatan lontaran yang bergaris pusat 2.135 meter (Lihat rajah di atas)
ü Terdapat dua garis lurus bersudut 34.92 darjah mengunjur keluar dari pusat bulatan yang dikenali kawasan mendarat  lontaran
ü Terdapat satu bungkah penghadang yang diletak diatas garisan dibahagian bulatan bersudut ( seperti rajah )


                                       

 

 Aktiviti 1


1. Dengan merujuk maklumat dari buku dan internet, jelaskan sejarah perkembangan olahraga di Malaysia dengan lebih terperinci.

2. Senaraikan acara-acara balapan dan acara padang yang dipertandingkan pada peringkat sekolah rendah di kejohanan Olahraga MSSM.
     
  
3.3     KEMAHIRAN-KEMAHIRAN ASAS OLAHRAGA

3.3.1 Acara Balapan

· Lari pecut  100 meter
Lari pecut 100 meter memerlukan seseorang berlari sepantas mungkin dalam jarak dekat yang memerlukan tenaga yang tinggi iaitu sistem tenaga anaerobik.  Faktor yang mempengaruhi kepantasan ialah kekerapan langkah dan panjang langkah.  Dalam pertandingan, acara lari pecut menggunakan teknik permulaan gaya dekam.


  
Lari pecut boleh dibahagikan kepada fasa-fasa berikut:

i. Fasa permulaan

· Kedudukan Dekam

Permulaan Gaya Peluru (Bullet Start)
ü Berdiri di blok, rapat kepada garisan
ü Blok hadapan diletak 1 ½ tapak dari garisan permulaan dan blok belakang setapak dari bahagian hadapan blok hadapan
ü Letakkan kaki di blok
ü Jari kaki belakang segaris dengan tumit kaki hadapan
ü Ruang di antara 2 tapak kaki adalah seluas buku penumbuk

Permulaan Gaya Sederhana (Medium)
ü Blok di hadapan berada 1 ½ tapak dari garisan permulaan dan blok  belakang 2 tapak dari bahagian hadapan blok hadapan
ü Lutut kaki belakang segaris dengan hujung jari kaki hadapan
ü Ruang di antara 2 tapak kaki adalah seluas buku penumbuk

Permulaan Gaya Panjang  (Elongated)
ü Blok hadapan diletak 1 ½ tapak dari garis permulaan dan blok belakang 3 tapak dari bahagian hadapan blok hadapan
ü Lutut  kaki belakang segaris dengan hujung tumit kaki hadapan
ü Ruang di antara 2 tapak kaki adalah seluas buku penumbuk

                     

· Kedudukan tangan, kepala dan leher

ü Kedua belah tangan lurus dan dibuka seluas bidang bahu.
ü Ibu jari dan jari penunjuk dibuka luas dengan jari-jari lain rapat di antara satu sama lain, diletak di belakang garis permulaan.
ü Kepala dan leher didongak, mata pandang ke hadapan

· Kedudukan  Sedia
ü Badan diangkat dan condong ke hadapan
ü Kedua tangan lurus menahan berat badan
ü Kaki belakang hampir lurus
ü Kepala pandang  hadapan (1 m - 1.5 meter)

· Kedudukan  Berlepas
ü Lutut belakang digerakkan ke hadapan dengan pantas serta tahap rendah
ü Kaki hadapan diluruskan sepenuhnya
ü Dimulakan dengan larian / pecutan dalam jarak 30 m - 60 m, kedudukan badan condong ke hadapan dan mula menegak
ü Jarak langkah juga turut bertambah dalam fasa ini






ii.  Fasa Larian

ü Lutut diangkat  tinggi dengan langkahan panjang dan pantas.
ü Kedudukan badan mula menegak dan kedudukan kepala memandang ke hadapan dalam keadaan rehat.
ü Jarak langkah juga turut bertambah dalam fasa ini.
ü Berlari dengan tahap kelajuan maksima sehingga ke garisan penamat.

iii.   Fasa penamat

· Faktor yang paling penting untuk menamatkan larian ialah untuk berlari 10m lebih dari jarak larian sebenar.
Contoh :- untuk larian 100m, pelari haruslah berlari sejauh 110 m.
· Pelari akan terus memecut serta mengekalkan kelajuan  melintasi
garisan penamat.
· Tonjolkan bahagian torso  (badan - dada) ke hadapan
· Bahu diangkat dan tangan ditarik ke belakang


· Lari Pecut  200 meter dan 400 meter

Untuk lari pecut 200 meter dan 400 meter, semua fasa-fasa larian adalah sama dengan lari pecut 100 meter yang memerlukan seseorang berlari sepantas mungkin yang memerlukan tenaga yang tinggi iaitu sistem tenaga anaerobik.  Faktor yang mempengaruhi kepantasan ialah kekerapan langkah dan panjang langkah.  
               


Teknik Lari Pecut 200 meter dan 400 meter

· Berlari dengan hujung kaki.
· Berlari langkah panjang dengan lutut diangkat  sekurang-kurang aras pinggang.
· Berlari dengan pecutan yang makin meningkat dari awal permulaan hingga ke penamat.
· Berlari seberapa hampir dengan garisan bahagian dalam lorong masing-masing terutama di selekoh.
· Berlari dengan kedudukan badan condong ke kiri semasa di selekoh.
· Sebaik-baiknya pelari berlari terus melepasi garisan penamat tanpa memikirkan untuk mendada.

                                      

 

Aktiviti 2


1. Senaraikan 3 gaya untuk permulaan lari pecut.

2. Berdasarkan pembacaan anda, nyatakan perbezaan utama dalam ketiga-tiga gaya permulaan lari pecut.
  


3.3.2 Acara Padang

Selain dari acara-acara trek, anda juga perlu tahu acara-acara padang.  Acara padang terdiri daripada acara lompatan dan balingan.  Acara-acara ini boleh dipertandingkan serentak dengan acara trek kerana ia dijalankan di bahagian dalam trek.  Acara-acara padang memerlukan peralatan dan kawasan tertentu.  Acara lompat jauh dan lompat tinggi adalah dua acara yang sering dipertanding-kan dalam acara lompatan. Kebanyakan acara lompatan memerlukan aspek  kepantasan, koordinasi, kelenturan dan kuasa yang tinggi.

a. Acara Lompatan

· Lompat Jauh

Terdapat tiga gaya yang biasa digunakan dalam acara lompat jauh iaitu :
i. gaya layar,
ii. gaya gantung dan
iii. gaya tendang kayuh.

Acara lompat jauh bolah dibahagikan kepada empat fasa seperti yang berikut:

· Fasa lari landas (Approach)
· Fasa lonjakan (Take off)
· Fasa penerbangan/ layangan (Flight)
· Fasa pendaratan (Landing)

i. Fasa Lari Landas

Anda bermula dengan berlari pantas secara optimum dan terkawal dari tempat permulaan ke papan lonjak.  Langkah pertama mestilah bermula dengan kaki lonjak.  Bilangan langkah ke papan lonjak biasanya 11 - 14 langkah (pelompat novis), 17 - 19 langkah (pelompat wanita pakar) dan 23 langkah (pelompat lelaki pakar).

ii. Fasa Lonjakan

Semasa tiba di papan lonjak, pelompat seharusnya mencapai kelajuan maksimum.  Melonjak dengan menggunakan kaki lonjak.  Kaki bebas dihayun tinggi ke atas untuk mendapatkan lonjakan yang tinggi.

iii. Fasa penerbangan/ layangan

Gaya badan dan pergerakan anda bergantung kepada gaya yang digunakan.  Bagi gaya tendang kayuh, kaki digerakkan seperti mengayuh basikal.  Bagi gaya layar, anda mestilah melunjurkan kedua-dua belah kaki ke hadapan dengan badan condong ke hadapan dan tangan dihulur ke hadapan hingga ke hujung kaki.  Bagi gaya gantung pula, angkat kedua-dua belah tangan ke atas seolah-olah bergantung di udara, di mana kedua-dua belah kaki diangkat ke belakang.

iv. Fasa pendaratan

Apabila badan mula jatuh, tangan dan kaki dirapatkan dan digerakkan ke hadapan.  Apabila tangan mencecah tumit, tangan digerakkan ke belakang dan kemudian ke hadapan semula.  Mendarat dengan tumit dahulu mencecah pasir.



b. Acara Balingan

· Lontar Peluru

Gaya Lontaran

Acara ini menggunakan kekuatan  tangan.  Secara  amnya terdapat tiga gaya lontaran  iaitu:

· Gaya berdiri,
· Gaya melungsur selangkah, dan
· Gaya Parry O’ Brien
· Gaya pusing
 Fasa Lontaran
  
· Acara lontar peluru boleh dibahagikan kepada fasa-fasa perlakuan seperti yang berikut:
ü Pegangan peluru
ü Lakuan sedia (Preparation)
ü Lungsuran (Glide)
ü Kilas Badan (Rotate) dan Lontaran (Delevery)
ü Pulihan (Recovery)

i. Pegangan peluru
Cara memegang peluru adalah sama bagi ketiga-tiga cara balingan.  Peluru boleh dipegang dengan dua cara iaitu dengan menggunakan lima jari atau memegang dengan tiga jari.  Peluru dipegang dengan  tiga jari tengah dan disokong oleh ibu jari dan jari kelingking.

ii. Fasa Lakuan sedia
ü Bagi lontaran gaya berdiri, pelontar berdiri di bahagian hadapan bulatan dengan bahu mengadap arah lontaran.  Peluru diletak rapat ke leher di bawah telinga.  Lengan  diangkat hampir mendatar dan siku mengarah ke luar.
ü Bagi gaya lungsur selangkah, Parry O’ Brien dan Pusing pelontar berdiri di bahagian belakang bulatan, membelakang sektor lontaran.  Peluru diletak rapat ke leher dan bawah telinga. Lengan tangan diangkat hampir mendatar dan siku keluar.


iii. Fasa Lungsuran
ü Tiada lungsuran bagi gaya lontar berdiri.  
ü Bagi gaya lungsur selangkah, bermula dengan berat badan pada kaki kiri, kaki kanan pula digerakkan ke bahagian tengah bulatan.
ü Gaya Parry O’ Brien pula kedudukan badan dalam keadaan condong.  Kaki kanan dibengkokkan dan kaki kiri dihayun ke hadapan dan ditendang ke belakang.  Kaki kanan melungsur ke tengah bulatan.

iv. Fasa Kilas dan Lontaran
Rendahkan kaki kanan.  Kilaskan pinggang dan tangan kanan ditolak ke hadapan menyilang badan.  Secara serentak tangan kiri dihayun ke belakang dan luruskan kedua belah kaki.  Tangan kanan mengikut arah lontaran, siku sentiasa di luar dan jauh dari badan. 

v. Fasa Pulihan
Langkah pulihan dilakukan dengan membawa kaki kanan ke hadapan bulatan dan pada masa yang sama kaki kiri digerakkan ke belakang secara tergantung untuk membantu imbangan badan. 


3.4     PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG 

· Peraturan Dan Undang-undang Lari Pecut;

· Peserta hendaklah berlari dalam lorong masing-masing
· Peserta hendaklah menggunakan blok mula semasa permulaan larian
· Semua peserta mesti memakai sekurang-kurangnya tanda nombor di depan dan di belakang baju
· Jika memakai ‘spike’ bilangan pepaku hendaklah tidak melebihi 11 batang dan tidak boleh melebihi 9 mm panjangnya
· Peserta yang melakukan salah mula semasa permulaan akan disingkirkan dari pertandingan tanpa amaran (termasuk semua acara-acara balapan yang lain).


· Peraturan 185: Lompat Jauh

· Seseorang peserta itu gagal sekiranya:
ü menyentuh bumi selepas garisan lonjakan dengan mana-mana bahagian badannya, sama ada membuat larian tanpa melompat atau semasa membuat lompatan
ü melonjak dari luar hujung papan lonjakan, sama ada selepas atau sebelum garisan lonjakan
ü menyentuh tanah di antara papan lonjakan dan kawasan pendaratan
ü melakukan apa jenis balik kuang (somersault) semasa membuat larian atau semasa melompat
ü semasa mendarat, menyentuh bumi di luar kawasan mendarat di antara tapak lonjakan dan bahagian kesan jatuh yang paling hampir
ü tidak dikira batal sekiranya seseorang peserta itu berlari di luar mana-mana bahagian luar garisan putih yang menandakan landasan lari.
ü tidak dikira batal sekiranya seseorang peserta itu berjalan balik di atas kawasan mendarat setelah meninggalkan kawasan mendarat dengan cara yang betul.
ü semua lompatan hendaklah diukur bermula dari tanda mendarat yang paling hampir yang dibuat oleh mana-mana bahagian badan, kaki atau tangan ke garisan lonjakan atau lanjuran garisan lonjakan. Ukuran hendaklah dibuat serenjang (bersudut tepat) dengan garisan lonjakan atau lanjurannya.

· Rujuk buku undang-undang KOAM


 Peraturan 188 : Lontar Peluru

ü Dilontar dari bahu dengan sebelah tangan sahaja.
ü Memulakan lontaran, peluru mesti menyentuh atau rapat dengan leher/ pipi dan tangan tidak boleh direndahkan daripada paras bahu.
ü Tidak boleh dibawa ke belakang dari garis bahu.