Wednesday 31 July 2013

TGfU merupakan satu strategi pembelajaran dan pengajaran PJ yang berasaskan permainan bertujuan untuk menjana pemahaman yang lebih mendalam tentang semua aspek permainan dan memberi peluang untuk murid bermain lebih berkesan dalam situasi permainan (Werner, Thorke & Bunker, 1996)  di samping meningkatkan tahap aktiviti fizikal, penglibatan murid, motivasi dan keseronokan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani (Forrest, G., Pearson, P., & Webb, P. 2006).
















Model TGfU (Bunker and Thorpe, 1982)




Apabila menggunakan pendekatan TGfU dalam permainan, beberapa langkah dalam model harus diikuti seperti rajah di atas

        
Langkah pertama, pelajaran dimulakan dengan permainan. Pelajar ditunjukkan satu permainan yang  melibatkan bilangan pemain yang kecil, alatan dan kawasan yang dimodifikasikan. Pelajar haruslah memahami bentuk permainan itu dan mengenalpasti masalah-masalah unik yang perlu diselesaikan semasa bermain.     
Langkah kedua ialah apresiasi permainan. Peraturan diubahsuai supaya mudah dan senang difahami oleh murid semasa bermain. Peraturan yang diubahsuai akan mempengaruhi  tahap kemahiran dan taktik yang akan digunakan. 
          Langkah ketiga ialah kesedaran taktikal. Murid diperkenalkan taktik permainan melalui pengenalan prinsip pergerakan, idea tentang kawasan dan masa. Dari sini, murid akan maju ke situasi yang lebih tinggi.
          Langkah keempat ialah membuat keputusan. Dalam membuat keputusan, soal ‘buat apa?’ (What to do) dan ‘bagaimana buat?’ (How to do) diasingkan supaya pelajar dapat mengenalpasti kelemahan dalam membuat keputusan. Dalam ‘buat apa?’, pelajar harus menilai dan mempunyai kebolehan untuk mengenalpasti ‘cues’ dan meramal keputusan yang mungkin timbul. Setelah mengetahui ‘buat apa’ pelajar harus membuat keputusan dan cara yang terbaik untuk tindakan seterusnya,.
          Langkah kelima ialah pelaksanaan kemahiran yang merupakan hasil sebenarnya sesuatu pergerakan. Pelaksanaan kemahiran yang betul adalah penting. Arahan berbentuk teknikal kemahiran harus diberikan tetapi sesuai dengan tahap kebolehan pelajar.
              Langkah keenam ialah perlakuan atau ‘outcome’ yang diperhatikan berdasarkan proses-proses sebelumnya. Ia diukur berdasarkan kriteria yang tidak bergantung kepada pelajar tetapi berdasarkan aspek tindakbalas yang sesuai dan keberkesanan teknik. Guru membantu pelajar untuk menentukan sama ada perlakuan itu betul atau tidak dan membuat keputusan untuk memajukannya.

Thursday 11 July 2013

Spektrum Gaya PengajaranMosston

  • Spektrum pengajaran adalah satu rangka kerja model pendidikan berdasarkan guru dan murid (Mosston & Ashworth, 1994). 
  • Spektrum yang mengutamakan hubungan guru dan murid melalui keputusan yang dibuat sama ada oleh guru sendiri ataupun murid dalam semua pengajaran. 
  • Spektrum ini dirangka berdasarkan dua keadaan iaitu :

             a) Gaya A: Guru Sebagai pembuat keputusan utama        
             b) Gaya K : Murid Sebagai pembuat keputusan utama.

  • 11 gaya pengajaran setiap satunya dijelaskan berdasarkan siapakah yang membuat keputusan.

Gaya Arahan (A)

Satu gaya tradisional di mana guru mengawal sepenuhnya pengajaran dan pembelajaran. Guru menjadi tumpuan utama dari mula hingga akhir. Dalam erti kata lain, guru akan membuat keputusan terhadap perjalanan P&P di dalam kelas. Kaedah ini akan memberi peluang guru menggunakan kuasa autonomi untuk memberikan arahan satu persatu, melakukan demonstrasi dan berhak memberikan komen dan ulasan terhadap prestasi murid-murid. Oleh itu, murid perlu memberikan perhatian sepenuhnya terhadap arahan dan pengajaran daripada guru. Murid akan meniru setiap perlakuan guru.

Kaedah ini sememangnya sesuai untuk satu aktiviti aras yang tinggi dan perlu mengutamakan keselamatan. Keperluan gaya ini juga sesuai ketika masa P&P adalah terhad dan tidak mencukupi masa. Oleh itu masa murid untuk mempelajari sesuatu tajuk menjadi terhad. Ia juga sesuai untuk pembelajaran pada peringkat awal bagi memudahkan murid memahami tajuk. Sebagai contoh ialah pembelajaran pergerakan asas aktiviti roda kereta dan hambur tangan. Aktiviti ini merupakan satu aktiviti aras tinggi yang memerlukan arahan daripada guru secara terus menerus. Dalam tunjang 2 pembelajaran lompat tinggi juga merupakan satu aktiviti aras tinggi yang memerlukan arahan dan perhatian lebih daripada guru.


Gaya Latihan (B)

Gaya pengajaran ini merupakan kesinambungan daripada gaya pengajaran arahan yang mana guru bertanggungjawab terhadap semua keputusan dalam P&P. Dalam pengajaran guru akan memberikan tunjuk ajar kepada murid dan murid berpeluang melakukan latihan secara beransur maju dan berperingkat. Guru akan memberikan penerangan berkaitan dengan aktiviti yang dilakukan atau pun guru akan melakukan demonstrasi untuk melakukan aktiviti. Guru juga akan memberikan penjelasan dan menentukan tiap-tiap yang ingin di ajar. 

Guru juga akan sentiasa memerhatikan murid dan akan memberikan maklum balas, tunjuk ajar dan bersoal jawab dengan murid. Murid melakukan latihan yang telah ditetapkan oleh guru.
Seperti gaya Arahan, gaya latihan juga sesuai untuk P&P yang mempunyai masa yang terhad, pembelajaran peringkat awal tetapi gaya latihan memberikan murid masa yang lebih untuk berlatih. Contohnya ialah Pembelajaran kemahiran olahraga. Sekiranya dirujuk pada taburan pembahagian masa pengajaran olahraga memiliki masa pengajaran yang singkat untuk mengajarkan kemahiran asas. Oleh itu, murid harus diberikan masa yang lebih untuk mereka berlatih sendiri agar mempercepatkan proses pembelajaran.


Semak Bergandingan/Timbal Balik (C)

Gaya ini mengkehendaki murid untuk melakukan latihan secara berpasangan namun demikian secara dasarnya kaedah ini masih menetapkan guru menentukan apa yang akan dipelajari dan memberikan penerangan terhadap aktiviti yang akan diajarkan kepada murid. Guru juga akan melakukan demonstrasi lanjutan untuk menguji perlakuan murid. Dalam pengajaran aktiviti secara berpasangan. Seorang murid akan menjadi pemerhati dan seorang lagi akan melakukan sesuatu aktiviti. Penilaian terhadap pelajar adakan berdasarkan kriteria perlakuan yang telah disediakan oleh guru.

Pada permulaan P&P guru akan bertanggungjawab sepenuhnya. Murid akan melakukan aktiviti secara berpasangan. Guru akan menyediakan senarai semak dan lampiran gambar kepada pelajar. Pelajar akan menjadi penilai yang menilai perlakuan pasangan mereka. Sebagai contoh ialah dalam mengajar kemahiran menghantar permainan bola jaring. Guru akan membekal kepada pasangan murid senarai semak butir-butir lakuan menghantar bola. Selain itu murid juga akan dibekalkan dengan gambar lakuan yang betul. Oleh itu, murid yang bertindak sebagai penilai akan menilai dan menandakan senarai semak lakuan yang betul. Kemudian murid ini akan bertukar peranan.


Gaya Semak Kendiri (D)

Gaya ini sesuai bagi perlakuan yang mudah. Apabila perlakuan yang mudah dilakukan oleh murid, maka akan muda bagi murid tersebut untuk mengenal pasti seterusnya menilai sendiri akan kesilapan perlakuan yang dilakukannya. Namun kelemahan kaedah pengajaran semak kendiri ini ialah ia menghadkan perhubungan interaksi sosial guru dan murid.

Sama seperti gaya berpusatkan guru yang lain, gaya semak kendiri ini turut tidak terkecuali. Guru akan menentukan apa yang dipelajari, memberikan penerangan sebelum memulakan pengajaran. Namun murid akan bertanggungjawab dalam menilai perlakuan diri. Misalnya, dalam melakukan kemahiran menyangga bola tampar, murid akan dibekalkan dengan gambar turutan kemahiran menyangga yang betul manakala murid pula akan melakukan aksi tersebut dengan berdasarkan gambar setelah diberikan penjelasan dan penerangan oleh guru.


Gaya Inklusif/ peningkatan (E)

Satu-satunya pengajaran yang berpusatkan guru yang memberikan peluang kepada murid satu keistimewaan untuk memilih tahap pembelajaran mereka mengikut tahap dan kemampuan mereka. Murid akan memilih sendiri tahap dalam prestasi mereka sebelum melakukan aktiviti. Aktiviti yang masih ditentukan oleh guru kriteria pembelajarannya.

Kelebihan aktiviti ini ialah ia memberikan murid peluang untuk merasai kepuasan dan kejayaan dalam Pendidikan Jasmani. Semua muri akan berupaya untuk melakukan aktiviti walaupun berbeza kebolehan diri. Peningkatan kemahiran kendiri murid dan motivasinya. Misalnya, dalam melakukan aksi kemahiran lompat tinggi, murid bebas untuk memilih ketinggian palang lompat tinggi.


Penemuan terbimbing (F)

Kaedah yang juga dikenali sebagai kaedah limitasi juga merupakan satu kaedah yang memberikan banyak peluang untuk meluahkan perasaan, mencuba dan menjadi seseorang yang kreatif tetapi perlakuan yang terhad akibat tugas-tugas daripada guru. Kelebihan gaya pengajaran ini ialah, ia membenarkan penglihatan yang lebih oleh pelajar dalam proses pembelajaran dan mengambil kira perbezaan di kalangan murid serta mempunyai peluang belajar mengikut tahapnya sendiri. Kaedah ini merupakan kaedah yang mana guru akan menetapkan tugasan dengan menyediakan pelbagai soalan yang hanya menjuruskan kepada satu jawapan sahaja. Kemudian, guru akan memberikan peluang/ masa untuk murid berfikir mencari jawapan. Namun sekiranya murid gagal untuk menjawab, guru akan menukar soalan kepada soalan yang lain namun masih menjurus kepada jawapan yang sama. 

Pada kaedah ini, guru akan merancang proses pengajaran dan pembelajaran. Namun murid tetap terlibat dalam mencapai objektif. Guru bertindak sebagai penyoal (questioning) kepada murid. Manakala murid akan bertindak sebagai penemu atau pembuka (uncovering) terhadap persoalan yang dinyatakan oleh guru. Dalam hal ini guru biasanya akan membantu murid sehingga murid memahami dan jelas terhadap sesuatu tajuk atau perkara. Misalnya guru akan berbincang dengan murid terhadap ciri-ciri keselamatan pada pakaian sukan yang ada pada masa kini dan masa depan. Guru akan membimbing murid sehingga mencapai objektif seperti dapat menghasilkan satu jenis pakaian sukan yang memiliki ciri-ciri keselamatan berdasarkan sukan.


Gaya pengajaran berpusat (G)

Guru akan merancang pembelajaran ini dengan menetapkan beberapa persoalan dan tugasan. Murid pula akan bertindak untuk mencari jawapan yang paling hampir. Guru akan bertindak sebagai pemandu arah. Murid pula bertindak sebagai pencari jalan keluar. Contoh aktiviti ialah murid melakukan perbincangan berkenaan dengan sejarah beberapa jenis sukan di Malaysia. Guru akan membantu murid dengan memberikan klu-klu atau maklumat yang hampir berkaitan.


Gaya Penemuan Bercapah (H)

Dalam gaya ini, guru akan menetapkan satu tugasan yang mempunyai pelbagai jawapan. Tugasan ini mempunyai banyak pilihan jalan penyelesaiannya. Kemudian, guru akan mendorong dan menggalakkan murid untuk menilai setiap jalan penyelesaian tersebut dan membuat perbandingan antara jawapan tersebut. Perbandingan antara jawapan ini adalah satu cara untuk seseorang murid tersebut menilai keberkesanan jawapan yang diberikan.

Kaedah ini sesuai bagi aktiviti yang berbentuk pembangunan satu pasukan. Kelebihan kaedah ini ialah menggalakkan murid berfikir dan memupuk sikap kerjasama antara mereka. Misalnya, guru menetapkan tugasan murid adalah mencari teknik yang sesuai bagi kemahiran olahraga acara padang lompat jauh. Tugasan yang satu, tetapi mempunyai banyak pilihan jawapannya, antaranya ialah kayuh, layar dan melayang. Murid akan mencari mana-mana jawapan dengan melakukan semua gaya tersebut seterusnya menilai keberkesanannya dari segi jarak lompatan.


Gaya program individu – reka bentuk pelajar. (I)

Gaya ini adalah kompleks kerana ia memerlukan tumpuan masa yang panjang memahami tugasan, masalah dan muri juga perlu berfikir secara logik dan sistematik. murid akan menetapkan sendiri tugasan dan menyelesaikannya mengikut kebolehan individu.

Guru akan membantu murid sebagai penasihat. Murid akan merancang program atau aktiviti pembelajaran seterusnya murid sendiri yang akan menyelesaikan masalah. Contohnya merancang satu pergerakan kreatif bagi membentuk persembahan. Pergerakan kreatif tersebut akan dibantu oleh guru dengan memurnikan lagi persembahan kreatif mereka.


Gaya Pembelajaran terdorong (J)

Guru akan memantau proses pembelajaran manakala murid pula akan menjadi perancang program atau aktiviti pembelajaran. Pelajar berusaha sendiri untuk menetapkan tugasan mereka serta memilih gaya pembelajaran kendiri. Gaya ini seolah-olah memberikan murid autonomi untuk mengambil alih tugasan guru dengan mengawal kelas, merancang program dan aktiviti pembelajaran. Sebagai contoh murid akan mengaplikasikan kemahiran olahraga dan perlu mengaplikasikan satu sesi pengajaran PJ.


Pembelajaran Kendiri (K)

Guru akan bertindak sebagai pemerhati sahaja. Murid akan bertindak mengambil alih tugas seorang guru. Murid akan menetapkan sendiri apa yang akan dipelajari dan menetapkan pendekatan sendiri untuk mencapai objektif pembelajaran mereka. Murid diberikan hak untuk membuat keputusan sendiri. Contoh aktiviti yang sesuai ialah melakukan kemahiran servis bola tampar yang pelbagai. Murid akan menetapkan sendiri objektif yang ingin dicapainya dalam melakukan servis yang pelbagai. Misalnya murid ingin melakukan 2 daripada 3 kemahiran servis bola tampar dengan betul.

Monday 8 July 2013

Hubungkait Falsafah Pendidikan Jasmani dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan

 Pendidikan di Malaysia adalah merupakan suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu    secara holistik dan bersepadu untuk menghasilkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) dan berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

 Usaha di atas adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

 Kesinambungan yang wujud dalam matlamat utama aktiviti Pendidikan Jasmani ialah meningkat dan membangunkan keupayaan murid dari aspek psikomotor, kognitif dan afektif. Melalui aktiviti Pendidikan Jasmani secara amnya dapat memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui:

 Peningkatan dan perkembangan nilai-nilai sosial seperti bekerjasama, bertolak ansur, sabar, saling hormat-menghormati dan sebagainya.

 Pembinaan dan pengembangan aspek mental dan intelek seperti tafsiran, Kefahaman, pertambahan pengetahuan dan pengalaman dan sebagainya

 Mengembang dan menerapkan perubahan tingkahlaku dan disiplin seperti yakin kepada diri, taat setia, bertanggungjawab, memiliki nilai tentang kemasyarakatan dan sebagainya.(Teng Bon Tong, 2001)

Kepentingan Pendidikan Jasmani dalam kurikulum sekolah adalah:

 Membangun dan meningkatkan keupayaan fizikal dan kecergasan murid.

 Membangunkan kemahiran pergerakan asas murid.

 Memberi kefahaman kepada murid tentang keselamatan diri, alatan dan tempat beraktiviti.

 Memberi peluang dan ruang kepada murid mengenali dirinya.

 Menyemai budaya bergiat cergas sepanjang hidup.

 Mengetahui isu-isu berkaitan Pendidikan Jasmani dan sukan yang boleh memperbaiki dan mempengahruhi gaya hidup.

 Semua ini mempunyai pertalian rapat dan Pendidikan Jasmani boleh diibaratkan sebagai agen pemangkin ke arah memenuhi hasrat PPK yang bertumpu kepada pembangunan insan yang seimbang dari aspek JERI.

 Strategi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani di peringkat sekolah rendah menekankan aspek-apek penggabungjalinan, pengayaan dan penilaian.

 Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dan menyeluruh dalam Falsafah Pendidikan Negara.

 Guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid.

 Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan kemahiran berfikir.
Konsep Penggabungjalinan

 Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani.

 Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran.

 Kemahiran-kemahiran boleh digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran Pendidikan Jasmani atau kemahiran daripada matapelajaran yang lain. Konsep Pengayaan

 Program pengayaan perlu diberi penekanan dan keutamaan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah kerana keadaan latarbelakang murid yang ketara berbeza dari pelbagai aspek seperti kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat.

 Murid ini hendaklah diberikan bahan dan pendekatan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru.


 Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan, dan bahanbahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

Konsep Penilaian

 Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran.

 Penilaian merupakan suatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi membantu guru menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran.

 Penilaian perlulah dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

 Proses penilaian yang berterusan akan dapat membantu guru mengenalpasti jenis tindakan susulan yang perlu diambil kepada seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan.

 Melalui penilaian ini, guru seterusnya akan mudah memilih jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi seseorang murid.

 Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap kelemahan dan pencapaian murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul pada aras yang lebih tinggi.

GAYA HIDUP SIHAT

Definisi Gaya Hidup Sihat

 Amalan tabiat yang meningkatkan tahap kualiti kesihatan dan meninggalkan tabiat yang memudaratkan kesihatan

 Boleh juga ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat.

 Amalan ini perlu dilakukan setiap masa bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan diri. Untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan diri, perlu mengamalkan gaya hidup sihat setiap hari seperti mengamalkan pemakanan yang sihat, senaman, menjaga berat badan, dan penjagaan kesihatan yang sempurna.


 Senaman merupakan aktiviti terpenting untuk cara hidup yang sihat. Oleh hal demikian, disarankan supaya mengamalkan aktiviti ini bagi menjamin kesihatan diri. Senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, dan masa yang diambil ialah antara 20 hingga 30 minit setiap kali senaman. 

Antara faedah yang kita dapat ketika bersenam ialah tubuh badan menjadi cergas, dapat mengawal berat badan, membina stamina dan kekuatan, menguatkan kelenturan sendi, gerakan badan dan mencegah kecederaan, meningkatkan fungsi jantung, paru-paru dan peredaran darah, menguatkan otot, tulang dan sendi, mengurangkan tekanan mental, dan sebagainya.

 Dalam melakukan senaman, ianya boleh dilakukan secara bersendirian, bersama keluarga atau kawan-kawan. Dalam hal ini, hendaklah sentiasa melakukan senaman bagi mengekalkan tahap kesihatan. Terdapat pelbagai jenis senaman yang boleh dilakukan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan. Antara jenis senaman ialah berjalan kaki, lompat tali, berbasikal, berjoging, berenang, bermain badminton, bersenamrobik, dan sebagainya.

 Cara Pemakanan yang Sihat Selain aktiviti bersenam, penjagaan dari segi pemakanan juga merupakan cara terbaik dalam gaya hidup sihat. Dalam hal ini, pengamalan pengambilan makanan berpandukan kepada makan secara sihat. Mengikut piramid pemakanan, kita perlu makan paling banyak bijirin, produk bijirin, ubi, buah-buahan dan sayur-sayuran, manakala makan secara sederhana ialah ikan, ayam, daging, kekacang, susu, dadih, dan keju juga. Bagi makanan yang mempunyai banyak lemak, minyak, garam, dan gula, perlu diambil dengan jumlah yang sedikit.

 Kita perlu mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat, protein, vitamin, zat-zat galian, dan lemak. Hal ini kerana kumpulan ini membekalkan makanan yang kaya dengan kalsium, zat besi, vatamin A, B kompleks, C, protein, dan gentian. Tegasnya, pengambilan makanan yang seimbang baik untuk kesihatan diri. Cara pemakanan yang sihat boleh menghindarkan daripada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan darah tinggi. Sebenarnya kedua jenis penyakit ini masih menjadi punca utama kematian di negara ini. Pemakanan yang baik penting untuk pembesaran yang sempurna.

 Jaga Berat Badan dalam mengamalkan gaya hidup sihat. Sekiranya makan berlebihan kemungkinan mengundang penyakit jantung. Penyakit tersebut adalah berpunca daripada masalah permakanan, kegemukan, tekanan darah tinggi, kurang bersenam, tekanan perasaan, dan sebagainya. Amat penting, adik-adik perlu mengurangkan makan yang berlemak. Sebenarnya lemak merupakan sumber kalori yang padat. Pengambilan lemak yang berlebihan dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung dan menyebabkan kegemukan. Bagi mengelakkan risiko menjadi gemuk, adik-adik perlu bijak memilih makanan mengikut keperluan badan. Makanan yang dimakan bukan sekadar untuk mengenyangkan perut semata-mata tetapi makanlah demi kesihatan tubuh.

 Rehat atau kesenggangan juga merupakan salah satu aspek yang penting dalam menentukan gaya hidup seseorang. Rehat bermaksud suatu tempoh yang diambil untuk berhenti daripada melakukan sesuatu aktiviti sama ada aktiviti fizikal, mental ataupun aktiviti ringan. Ia boleh digunakan untuk mengurangkan rasa penat dan letih serta menghilangkan rasa lapar dan dahaga.( Shamsudin, Sharizad & Mohd Sofian,2002)

 Kesenggangan boleh didefinisikan sebagai waktu terluang yang diisi dengan melakukan sebarang jenis aktiviti yang anda gemari. Ia mempunyai fungsi yang sama dengan rehat dan tidur iaitu memulihkan keadaan badan dan otak yang sudah letih bekerja. Kebanyakan orang suka menggunakan waktu senggang untuk pelbagai aktiviti yang proaktif seperti membaca, menggubah lagu, bermain alat muzik dan berhobi.

 Istirehat puladapat memberi kelegaan dan ketenangan di waktu ketegangan dan stres. Ia membawa erti satu tempoh masa terluang yang diisi dengan melakukan aktiviti ringan yang tidak aktif seperti mendengar muzik, melukis, melihat pemandangan alam flora dan lain- lain.

 Tidur pula ditakrifkan sebagai satu jangka masa di mana kita boleh melelapkan mata dan merehatkan badan sepenuhnya

 Jenis-jenis Rehat boleh di bahagikan kepada 2 iaitu:

 Rehat pasif : rehat tanpa melakukan pergerakan badan; tiada aktiviti regangan otot berlaku Tiga jenis rehat pasif yang berkesan adalah yang menggunakan latihan mental, pembayangan gambaran, istirehat jasmani. Kita boleh melakukan aktiviti rehat pasif dalam keadaan pasif dan dalam kedudukan postur tubuh yang selesa

 Rehat aktif adalah salah satu daripada bentuk rehat melalui latihan fizikal yang masih melibatkan proses regangan dan kontraksi otot.

 Melakukan aktiviti-aktiviti senaman ringan seperti berjalan-jalan dan bersiar-siar di taman bunga bersama keluarga adalah contoh baik rehat aktif

 Waktu rehat boleh diisi dengan melakukanaktiviti ringan seperti mendengar muzik, membaca majalah atau surat khabar, bermain congkak/carrom/catur dan bersiar-siar di taman/berjoging.

 Tidur adalah satu proses di mana kita melelapkan mata dan merehatkan badan sepenuhnya

 Tidur adalah satu fasa di mana manusia tidaksedarkan diri buat sementara waktu. Di dalam fasa ini,badan akan memperbaiki kerosakan yang berlaku pada sel tubuh serta membantu membina sel baru. Kadar tekanan darah menurun dan kadar denyutan jantung rendah. Semasa tidur, keperluan oksigen menjadi rendah lalu menyebabkan pernafasan kita menjadi rendah. (Norlaila Hamima Jamaluddin, 2006).

 Oksigen digunakan untuk memulihkan tisu-tisu pada otot serta menghasilkan sedikit tenaga untuk keperluan metabolisme dalam badan (Shamsudin et al., 2002).

 Otak tidak aktif membuatkan badan kita berehat sepenuhnya. Namun, ketika ini otak terlebih dahulu membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi keesokan harinya. Oleh itu, tidur yang cukup tanpa sebarang gangguan amatlah penting agar segala proses semasa tidur berjalan dengan lancar

 Secara amnya, keperluan seseorang individu itu untuk tidur secukupnya adalah berbeza: Bayi perlu tidur 16 jam sehari . Remaja memerlukan 7 jam tidur dan orang dewasa memerlukan 7 hingga 8 jam tidur

 Peringkat tidur adalah seperti berikut:

i. Stage 1 dan 2 adalah keadaan dimana proses tidur baru bermula, jantung mula perlahan dan suhu badan mula rendah. Di kala ini, bunyi perlahan masih bolehmengejutkan anda dari tidur.

ii. Stage 3 tidur anda lebih nyenyak. Di dalam keadaan ini, mata anda sudah tidak nampak apa-apa walaupun kelopak mata dibuka. Bunyi yang kuat sahaja boleh mengejutkan anda.

iii. Stage 4 fungsi badan lebih direhatkan.Pernafasan anda perlahan dan terkawal. Anda telah masuk ke peringkat tidur paling nyenyak.

iv. Stage 5 REM (rapid eye movement) -Peringkat inilah dipanggil MIMPI. Mata mula bergerak-gerak mengikut gelombang otak.Walaupun mata bergerak, badan kita tidak bergerak seolah-olah lumpuh. REM ambil masa di dalam 10 minit untuk kitaran pertama dan semakin lama setelah beberapa kitaran berlalu. Biasanya seseorang mengambil masa 2 jam untuk keseluruhan stage REM

 Keperluan tidur -

i. Membantu badan berfungsi dengan baik untuk bekerja keesokan harinya.

ii. Meningkatkan daya ingatan.

iii. Memberi peluang badan memperbaiki

iv. kerosakan sama ada tisu, sel atau otot.

v. Menghilangkan tekanan.

vi. Menghilangkan rasa penat dan mengantuk semasa membawa kenderaan.

 Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka.

 Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.

 Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.

 Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini.

 Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita.

 Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.

 Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.




Sunday 7 July 2013

Konsep dan Definisi Pendidikan Jasmani

Konsep dan Definisi Pendidikan Jasmani

Brownnell dan Hagmen (1951)
 PJ sebagai ke semua pengalaman melibatkan pergerakan otot-otot besar yang menggalakkan kepada perkembangan dan tumbesaran yang optima.

Nixon dan Cozens (1952)
 PJ sebagai suatu fasa dalam proses pendidikan keseluruhan yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti cergas melibatkan system otot-rangka dan pembelajaran hasil daripada penyertaan dalam aktiviti-aktiviti tersebut.

Wayman (1958)
 PJ adalah suatu fasa daripada pendidikan am yang berhubung dengan pembentukan dan latihan individu yang menyeluruh melalui aktiviti-aktiviti fizikal.

Jenny (1961)
 Pendidikan jasmani memberi pendidikan melalui aktiviti fizikal
 Terlibat dengan hasil-hasil pendidikan yang juga tidak bercorak fizikal.

Barrow (1971)
 Pendidikan jasmani dalam konteks Pengalaman Pendidikan Seluruhan (The Total Educational Experience).
 Menegaskan bahawa pengalaman pendidikan jasmani berkait rapat dengan proses pendidikan seluruhan dan berkait rapat dengan hal seumur hidup setiap individu.

Baley dan Field (1976)
 Satu proses pengubahsuaian dan pembelajaran berkenaan organic, neuromuscular, intelektual, sosial, budaya, emosional dan estetik, hasil daripada aktiviti-aktiviti fizikal yang terpilih.

Jewett and Nixon ( 1980).
 Physical education is most appropriately defined as that phase of the total process of education that is concerned with the development and utilization of the individual’s voluntary, purposeful, movement capabilities, and with directly related mental, emotional and social responses.

Kesimpulannya, pendidikan jasmani merupakan sebahagian dari fasa pendidikan am yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan individu pelajar secara menyeluruh dalam aspek fizikal, mental, emosi dan sosial melalui penglibatan dalam aktiviti-aktiviti pergerakan dan perlakuan jasmani secara terancang. Secara ringkasnya, pendidikan jasmani ialah pendidikan dari dan melalui aktiviti-aktiviti fizikal.

Matlamat (goals) Pendidikan Jasmani
 Matlamat perkembangan jasmani (physical development objective)
- Mempengaruhi semua bahagian pembangunan fizikal termasuk perkembangan mental dan sosial (Jenny,1961).
 Matlamat perkembangan psikomotor (psychomotor development objective)
- Kecekapan motor membantu usaha bagi menguasai kemahiran dan kawalan motor yang baik.
 Matlamat perkembangan sosial dan hubungan manusia (social and human relation objective)
- Kewarganegaraan yang berkesan dan kecekapan kemasyarakatan.
 Matlamat perkembangan mental dan emosi (Mental and psycho-emosional objective)
- Membantu membina kecerdasan melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecerdasan.

Tujuan (aims) Pendidikan Jasmani

“The aim of organized physical education programs is to created an environment that stimulates selected movement experiences, resulting in desirable responses that contribute to the optimal development of the individual’s potentialities in all phases of life.”

 Untuk melatih minda
 Untuk membentuk intelek seseorang
 “untuk menguasai pengetahuan prescribed bodies of knowledge”
 Untuk mempelajari konsep asas sesuatu disiplin
 Untuk membentuk sikap yang positif Untuk membentuk potensi seseorang supaya dapat menyertai dalam ahli persatuan     
    yang dinamik
 Untuk membentuk kuasa yang rasional
 Untuk membentuk kebolehan berfikir
 “to develop the capacity to make wise decisions in order to become an effective citizen in the democratic processes upon 
    which the free country depends”
 Untuk mempelajari cara hidup sihat berpanjangan

Objektif Pendidikan Jasmani

Dari segi Jasmani :
 Memberi perhatian kepada usaha membentuk satu sistem organ yang sihat melalui kegiatan-kegiatan jasmani yang cergas 
    khususnya untuk membina kekuatan otot saraf, daya tahan otot saraf dan daya tahan kardiovaskular. Penglibatan dan 
    penyertaan seseorang dalam kegiatan jasmani akan meningkatkan tahap kecergasan jasmani yang mana mempunyai implikasi 
    terhadap peningkatan taraf kesihatan seseorang.

 Melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian.

Dari segi Psikomotor :
 Membentuk suatu sistem saraf yang cekap. Kecekapan motor perlu untuk membantu usaha bagi menguasai kemahiran 
    motor asas, koordinasi dan kawalan motor yang baik.Perkembangan aspek ini penting untuk melakukan tugas-tugas harian 
    dengan lebih cekap lagi.

 Menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri

Dari segi Hubungan Sosial dan Perkembangan Emosi
 Melalui PJ kita dapat membentuk sikap, sahsiah dan tingkahlaku sosial yang diingini. Individu dapat menyesuaikan diri dan 
    berinteraksi dalam masyarakat
 Memupuk dan menyemaikan sifat-sifat social seperti bekerjasama, semangat kesukanan, berdikari, kepimpinan dan disiplin 
    diri.
 Membina daya tahan kendiri dari segi membina toleransi, sabar, timbang rasa di samping melatih mengawal emosi diri.

 Sebagai saluran untuk meluahkan perasaan, mengurangkan tekanan dan ketegangan yang dialami dalam kalangan 
    masyarakat.

Dari segi Perkembangan Mental
 Melalui PJ kita dapat mentafsir dan menganalisis sesuatu situasi dan membuat keputusan dan tindakan yang wajar.
 Pengetahuan mengenai tubuh badan, pergerakan dan fungsi-fungsi yang berkaitan berasaskan prinsip sains dapat 
    diaplikasikan ke dalam konteks pelajaran PJ.
 Mengaplikasi pengetahuan kesihatan dan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan fizikal.

Konsep Kurikulum Pendidikan Jasmani

 Kurikulum boleh diertikan sebagai rancangan suatu aktiviti pengajaran, kandungan struktur suatu bidang yang menjurus 
    satu-satu bidang. Dengan kata lain, kurikulum adalah rancangan yang terususun, terancang dan besifat berterusan.
 Perancangan sesuatu kurikulum itu adalah diasaskan dari falsafah pendidikan, matlamat dan objektif bagi satu-satu bidang 
    pendidikan.
 Konsep Pendidikan Jasmani boleh diibaratkan sebagai pendekatan pendidikan melalui aktiviti fizikal. Ini bersesuaian dengan 
    kenyataan Rosalind Cassidy dalam tahun 1927 yang merupakan pelopor dalam bidang Pendidikan Jasmani di Mill College, 
    Califonia. Beliau melihat Pendidikan Jasmani sebagai satu pendekatan aktiviti fizikal yang menyumbang kepada pendidikan 
    kepada murid. Beliau juga turut mengubah persepsi mengenai Pendidikan Jasmani yang sebenarnya amat luas dan berupaya 
    memberi sumbangan yang bermakna dan menyeluruh kepada manusia.Model yang boleh dikaitkan dalam pendekatan 
    pendidikan melalui aktiviti fizikal adalah model pembangunan (development model). Model ini merupakan model yang t
    terancang dan berterusan ianya banyak mendominasikan sistem sekolah dan pembelajaran di abad ke 20.
 Dalam tahun 1910, Clark Herington yang juga dikenali sebagai bapa Pendidikan Jasmani moden, mengklasifikasikan 

Pendidikan Jasmani kepada empat fasa utama iaitu:

 Pendidikan Organik (Organic Education)
Pendekatan kepada pembangunan fizikal yang bertumpu kepada aktiviti-aktiviti yang mampu meningkatkan keupayaan fizikal dalam diri individu melalui peningkatan pelbagai sistem organik dalam badan manusia.

 Pendidikan Psikomotor (Psycomotor Education)
Pendekatan pembangunan motor yang bertumpu kepada kepentingan pergerakanfizikal yang lebih bermakna dengan penggunaan tenaga yang seminimum mungkin serta ianya dilaksanakan dengan efisyen, serta mengekalkan nilai estetika pergerakan.

 Pendidikan Karektor (Character Education)
Pembangunan Mental atau kognitif bertumpu kepada pengumpulan maklumat danpengetahuan dengan keupayaan berfikir dan mentafsir maklumat.

 Pendidikan Intelektual (Intelectual Education)
Pembangunan sosial bertumpu kepada membantu individu menyesuaikan diri dalam kumpulan, masyarakat dan persekitaran dan bertindak memainkan peranannya sebagai seorang ahli dalam satu masyarakat .
Matlamat

 Berdasarkan Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan Rendah dan Menengah 1999 ( pengaruhdaripada Herington) dalam matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani di Negara kita.

 Pendidikan Jasmani bertujuan membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan.

Objektif

Berikut adalah matlamat dan objektif kurikulum Pendidikan Jasmani di Malaysia:
 Mempertingkatkan dan mengekalkan kecergasan berasaskan kesihatan dan perlakuan motor
 Menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri
 Melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian
 Mengaplikasikan pengetahuan kesihatan dan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan fizikal
 Membentuk sahsiah dan disiplin diri
 Membuat keputusan bijak dalam kehidupan.


Saturday 6 July 2013

NOTA 3110

NOTA    PJM 3110

1.1 PENDIDIKAN JASMANI DI ZAMAN PURBA

Manusia semasa zaman purba hidup secara nomad iaitu berpindah randah.Kegiatan seharian memerlukan kecergasan yang tinggi, untuk terus hidup mereka perlu bergerak untuk mencari makanan dan memburu, setiap kejayaan yang dicapai dalam usaha akan di raikan dengan berpesta

Zaman neolitik – berlakunya revolusi pertanian yang membawa kepada perubahan gaya hidup primitif. Zaman pembangunan dalam bidang pertanian, manusia tidak perlu berpindah randah, manusia mula mengamalkan gaya hidup sedentari dan manusia mula mengurangkan aktiviti kecergasan.

Ketika ini di negeri China manusia digalakan melibatkan diri dalam aktviti kecergasan seperti seni bela diri untuk tujuan menyihatkan badan. Selain daripada seni bela diri, aktiviti kecergasan yang lain juga diperkenalkan seperti tarian, lawan pedang, memanah dan menunggang kuda.

Di India pula satu kaedah senaman dicipta iaitu Yoga yang dipercayai dapat membawa panyatuan kepada tubuh, akal dan roh manusia serta merapatkan manusia dengan alam. Manakala pemerintahan di Timur tengah seperti Parsi, Egypt, Babylon dan Syria juga mementingkan kecergasan untuk tujuan ketenteraan. Kanak-kanak didedahkan dengan aktiviti-aktiviti saperti berkuda, memanah, memburu, berkawad dan membaling lembing untuktujuan membina kekuatan dan kecergasan dan bukan untuk kesihatan.

Di Greece pula masyarakat Yunani amat mementingkan kecergasan fizikal, kota-kota yang terkenal semasa itu ialah seperti Athens dan Sparta. Kedua-dua kota ini mempunyai objektif tersendiri. Di Sparta objektif Pendidikan Jasmani bertumpu pada pembinaan tubuh badan untuk pembentukkan tentera yang kuat. Manakala di Athens objektif Pendidikan Jasmani bertumpu kepada kesihatan dan apresiasi nilai estetika untuk terus hidup lebih aktif

1.2 PENDIDIKAN JASMANI DI ZAMAN RENAISANCE

Masyarakat zaman ini masing-masing mempunyai fahaman yang berbeza-beza terhadap Pendidikan Jasmani. Berikut merupakan golongan yang amat mempengaruhi pandangan tentang Pendidikan Jasmani pada masa itu. 

Golongan Humanistik mendapati terdapat nilai pendidikan dalam Pendidikan Jasmani. Aktiviti fizikal yang diberi tumpuan ialah seperti memanah, berenang, berlari dan aktiviti-aktiviti yang menggunakan bola.

Golongan Moralis berpendapat penglibatan dalam aktiviti merupakan sebahagian daripada menjalankan kerja sahaja manakala masyarakat katolik di Eropah berpendapat aktiviti fizikal sebagai saluran untuk menyatukan roh.

Golongan Realisma, masyarakat ini banyak menyokong dan berpandangan positif terhadap Pendidikan Jasmani. Mereka menyeru otak yang cerdas dilahirkan dalam badan yang cergas dan sihat.

1.3 PENDIDIKAN JASMANI DI ZAMAN MODEN

Pada akhir abad ke18 dan permulaan abad ke19 apabila kemahiran ketenteraan berkurangan sukan, permainan dan rekreasi memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat. Bertitik tolak dari situlah wujudnya pelbagai permainan saperti badminton, tenis, bola sepak, hoki, ragbi,bola keranjang,bola jaring, olahraga dan lain-lain lagi. 

Di samping itu pada ketika ini pelbagai kajian telah dijalankan dengan tujuan untuk mengembang dan membawa perubahan dalam bidang sukan dan program Pendidikan Jasmani. 

Atas usaha penyelidik-penyelidik untuk membuktikan terdapatnya asas sains dalam bidang sukan wujudnya bidang seperti:
Antropometrik – kajian tentang bentuk dan susuk badan
Fisiologi – kajian terhadap fungsi sistem-sistem organik tubuh
Biomekanik- kajian memahami bagaimana manusia bergerak
Psikologi sukan- kajian tentang tingkah laku manusia dalam bidang sukan

PENDIDIKAN JASMANI DI MALAYSIA

Pendidikan Jasmani di Malaysia dapat dibahagi kepada empat peringkat iaitu:

1. Pendidikan Jasmani sebelum penjajahan British
2. Pendidikan Jasmani semasa pemerintahan British
3. Pendidikan Jasmani sebelum Merdeka
4. Pendidikan Jasmani selepas Merdeka

1. Pendidikan Jasmani sebelum penjajahan British
Sebelum kedatangan British tidak terdapat sistem pendidikan yang teratur. Kelas-kelas dijalankan secara tidak formal dan tidak terdapat objektif yang jelas dalam penyampaian. Pendidikan pada masa ini lebih tertumpu kepada sistem pengajian pondok dan sebagainya. Pendidikan jasmani lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti untuk survival seperti belajar seni bela diri, bercucuk tanam dan pertukangan.

2. Pendidikan Jasmani semasa pemerintahan British

Sejak kedatangan penjajah British banyak perubahan telah dibawa masuk terutamanya oleh mubaligh-mubaligh kristian. Perubahan-perubahan yang dibawa masuk banyak tertumpu di negeri-negeri selat. Banyak
sekolah di buka dan diurus oleh golongan mubaligh dan syarikat-syarikat British. Mereka telahmemperkenalkan satu sistem pendidikan yang terdapat banyak pengaruh barat dalam sistem tersebut.
Ketika itu Pendidikan Jasmani di ajar sebagai mata pelajaran sampingan dan digelar sebagai latihan jasmani di sekolah-sekolah melayu. Mata pelajaran ini diajar dari darjah satu hingga darjah empat dan kurikulum latihan jasmani ini adalah terhad. Ini adalah disebabkan kerajaan British kurang memberi tumpuan terhadap mata pelajaran ini.

3. Pendidikan Jasmani Sebelum Merdeka
Pendidikan Jasmani pada era ini telah mula menekankan aspek kepentingan latihan fizikal lalu dilaksanakan usaha menggubal sukatan pelajaran bagi Pendidikan Jasmani. Sukatan yang digubal dipengaruhi oleh sukatan daripada sekolah-sekolah di England. Hasilnya pada tahun 1946, Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak telah menggubal sukatan Pendidikan Jasmani. Lanjutan daripada usaha ini, guru-guru tempatan telah dihantar mendalami ilmu perguruan di luar negara iaitu di Kirby dan Brinsford untuk diberi pendedahan bagi bidang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

4. Pendidikan jasmani Selepas Merdeka

Pada tahun 1950-an, Maktab Perguruan Sultan Idris telah diberi kepercayaan untuk membuat semakan dan penyesuaian semula terhadap sukatan mata pelajaran Pendidikan jasmani. Tahun 1960, Maktab Perguruan Ilmu Khas telah memperkenalkan kursus tambahan setahun dalam bidang Pendidikan Jasmani. Tahun 1971, sukatan Pendidikan Jasmani mula dibuat semakan semula dan hasilnya sukatan ini dikeluarkan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) telah menggabungkan Pendidikan Jasmani dengan Pendidikan Kesihatan bermula pada tahun 1992 dan dijadikan sebagai mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua pelajar.



HABIT OF MIND

 HABIT OF MIND WORKSHOP
19 JULAI 2013

Tajuk 1: Mencipta, membayangkan dan menginovasi

Semasa mengajar sesi amali PJM 3102 Pergerakan Asas pada semester yang lepas, semua gjuru pelatih dikehendaki memikirkan dua puluh pergerakan dan melakukannya secara individu, iaitu sepuluh pergerakan lokomotor dan sepuluh pergerakan bukan lokomotor.  Saya dapati kebanyakan guru pelatih kurang kreatif  dan sentiasa melakukan rutin pergerakan yang sama. Hasilnya, pergerakan mereka adalah lebih kurang sama dan kurang menarik. Oleh itu, pelatih digalakkan mencipta, membayangkan dan menginovasi supaya menjana idea baru dan luar biasa untuk menghasilkan pergerakan yang pelbagai variasi dan lain daripada yang lain. Mereka diingatkan  supaya berfikir  di luar kotak “Out of the box” untuk  mendapatkan idea baru.  Akhirnya, guru pelatih mampu menghasilkan pelbagai variasi pergerakan dan sesi pengajaran pembelajaran menjadi lebih aktif dan menyeronokan.  Oleh itu,  pemikiran inovatif dan kreatif perlu ditanam dalam minda guru pelatih serta selalu diamalkan supaya lebih bersedia dalam menangani arus globalisasi abad ini.

         

Tajuk 2: Berani Mengambil Risiko
Dalam menjalankan amali sukan dan rekreasi di Pulau Pangkor, salah  satu aktiviti kemahiran tali yang dijalankan ialah Abseiling. Aktiviti Abseiling merupakan satu aktiviti menuruni satu kawasan tinggi ke kawasan yang rendah dengan menggunakan tali. Setiap guru pelatih dikehendaki menuruni kawasan cerun bukit yang agak tinggi ke kawasan yang rendah di tepi pantai Pasir Bogak. Aktiviti ini memang menakutkan bagi seseorang yang berakrufobia. Pada mulanya guru pelatih berasa takut dan tidak yakin untuk turun malahan ada yang menangis tidak mahu turun apabila sampai ke kawasan yang tinggi, tetapi apabila galakan dan motivasi diberi oleh fasilitator dan rakan-rakan, maka mereka pun berani mengambil risiko dan berani mencuba serta mengharungi cabaran ini. Akhirnya semua guru pelatih dapat menjalani aktiviti abseiling dengan selamat dan berjaya bahkan ada yang ingin mencuba sekali lagi. Jadi berani mengambil risiko harus diamalkan selalu dan harus ditanam dalam kalangan guru pelatih untuk terus maju jaya.

.